DUNIA

Algeria, Uruguay Sertai TAC, Perkukuh Interaksi Dua Hala Dan Pelbagai Hala – Mohamad

09/07/2025 08:01 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir and Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) menyediakan satu mekanisme rasmi yang membolehkan kedua-dua negara berinteraksi secara lebih berkesan dengan ASEAN, sama ada menerusi kerangka pelbagai hala mahupun dua hala, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata penyertaan dua negara dari benua Afrika dan Amerika Selatan itu turut mencerminkan keterbukaan dan pengaruh ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang dipercayai serta dihormati di peringkat antarabangsa.

“Kita telah lama menjalin hubungan dua hala dengan Algeria dan kini kita akan memulakan hubungan dua hala dengan Uruguay,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Instrumen Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC di sini pada Rabu.

Algeria diwakili Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan Luar Negara, Ahmed Attaf, manakala Uruguay diwakili Menteri Luarnya, Mario Lubetkin.

“Alhamdulillah, pada petang ini telah selesai majlis menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama antara ASEAN dengan dua buah negara iaitu Algeria dan Uruguay.

“Ini merupakan perjanjian persahabatan. Kita berjabat tangan untuk bersama-sama memastikan keamanan dunia menjadi keutamaan kita,” katanya.

TAC merupakan satu bentuk perjanjian persahabatan yang mencerminkan komitmen negara-negara untuk bekerjasama demi memastikan keamanan dan kestabilan global terus terpelihara.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Mohamad berkata sejak TAC mula diterima pakai pada 1976, berfungsi sebagai kod etika dalam hubungan antara negara di rantau ini.

Prinsip utama perjanjian itu termasuk menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, penyelesaian pertikaian secara aman, serta menolak ugutan atau penggunaan kekerasan kekal relevan dan penting sebagaimana lima dekad lalu, katanya.

“TAC bukan sahaja menjadi tonggak utama ASEAN dalam landskap geopolitik yang sentiasa berubah, malah mencerminkan komitmen jitu ASEAN terhadap nilai-nilai teras seperti keamanan, kestabilan dan penglibatan konstruktif dengan rakan-rakan di seluruh dunia.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengulangi komitmennya untuk terus memperkukuh pendekatan luar ASEAN dan membina kerjasama berasaskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama,” katanya.

Dengan penyertaan Algeria dan Uruguay, jumlah keseluruhan negara yang menyertai TAC kini meningkat kepada 57, berbanding 55 sebelum ini — sekali gus mengukuhkan lagi peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.

Wakil kedua-dua negara memuktamadkan komitmen masing-masing di luar sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang kini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2443289