Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lima kali gagal menamatkan pengajian sarjana tidak mematahkan semangat penulis Hasrizal Abdul Jamil, untuk bangkit semula hingga akhirnya berjaya memperoleh ijazah itu di Trinity College Dublin, Ireland, September lepas.
Hasrizal, 50, yang telah menghasilkan 28 buku termasuk Aku Terima Nikahnya dan Erti Beragama Yang Hilang, menamatkan pengajian selepas disahkan mengalami Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) pada 2022, diagnosis yang menjelaskan punca kegagalannya menyiapkan tesis dalam lima percubaan terdahulu.
Berkongsi kisahnya kepada Bernama baru-baru ini, Hasrizal yang kini menetap bersama-sama keluarga di Naas, County Kildare, kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Dublin, mendedahkan beliau mula berdepan cabaran itu sejak zaman universiti apabila mengambil masa lapan tahun menamatkan pengajian ijazah dalam bidang syariah di Universiti Mu’tah, Jordan.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu mengakui ketika zaman universiti beliau tidak menyedari kesukaran menumpu perhatian dan mengurus jadual pembelajaran merupakan tanda awal ADHD yang tidak didiagnosis.
Namun, penilaian pakar psikiatri di Ireland mengesahkan beliau mengalami ADHD jenis tidak tumpu, iaitu sindrom yang menyebabkan seseorang sukar mengekalkan fokus, cepat hilang perhatian, berbeza daripada ADHD jenis hiperaktif fizikal seperti kanak-kanak yang sukar duduk diam atau sentiasa bergerak.
pic-2
Perubahan besar berlaku selepas beliau menjalani rawatan susulan termasuk pengambilan ubat stimulan serta sokongan sistem pendidikan inklusif di Ireland yang membantu meningkatkan keupayaannya menumpu dan menyiapkan pengajian mengikut jadual.
“Ubat yang saya ambil bukan untuk menyembuhkan, tetapi membantu otak berfungsi dengan lebih stabil. Ia menjadikan saya lebih tersusun, fokus lebih baik dan mampu menyiapkan tugasan tanpa mudah terganggu,” katanya.
Mengimbau kembali, Hasrizal berkata sepanjang hampir 20 tahun, beliau telah mencuba enam kali menamatkan pengajian sarjana di dalam dan luar negara dalam bidang berkaitan pendidikan dan tamadun.
Bermula di Open University United Kingdom (2003), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2008) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (2013), sebelum berpindah ke Finland di University of Oulu (2016) serta Oulu University of Applied Sciences (2019).
pic-3
Percubaan keenam bapa kepada empat anak itu di Trinity College Dublin, Ireland, dalam pengajian Sarjana Pendidikan (Diversity and Inclusion) akhirnya berjaya diselesaikan pada September lalu, dan beliau dijangka menerima ijazah itu secara rasmi pada majlis konvokesyen universiti berkenaan pada April 2026.
“Saya mahu menamatkan dilema peribadi berasa rendah diri, mahu buktikan kepada diri sendiri yang saya boleh. Kegagalan sebelum ini bukan kegagalan peribadi, tapi perjalanan mencari jawapan kepada sesuatu yang saya belum tahu ketika itu,” katanya.
Beliau menjelaskan penulisan akademik memerlukan tumpuan tinggi kerana struktur dan bahasanya ketat, bersifat faktual serta menuntut banyak rujukan silang terhadap jurnal dan kertas penyelidikan, tidak seperti penulisan buku yang lebih bebas dan membenarkan gaya penceritaan yang santai.
“Setiap kali sampai ke bahagian menulis tesis, saya akan tersekat. Saya sendiri tidak faham kenapa, sedangkan saya boleh menulis buku dan artikel panjang tanpa masalah. Baru baca satu jurnal, terus lompat ke jurnal lain dan akhirnya hilang arah, orang kata ‘lost in the rabbit hole’. Benda itulah yang mengucar-ngacirkan proses penulisan tesis saya,” katanya.
pic-4
Selain cabaran akademik, Hasrizal turut berdepan kesukaran mengawal emosi atau emotional dysregulation, iaitu keadaan yang menyebabkan individu ADHD mudah bertindak balas secara berlebihan terhadap tekanan harian.
“Kalau saya marah atau tertekan, saya ambil masa yang lama untuk reda. Kadang-kadang perkara kecil pun boleh buat saya terlalu emosi. Tapi alhamdulillah, dengan rawatan dan kefahaman keluarga, keadaan itu kini jauh lebih terkawal,” katanya.
Keterbukaan Hasrizal berkongsi pengalaman sebagai individu ADHD menarik perhatian Agensi Pendidikan Tinggi Ireland yang kemudian melantiknya sebagai duta advokasi pendidikan inklusif bagi meningkatkan kesedaran tentang keperluan pelajar berbeza upaya.
“Saya pernah percaya diri ini tidak cukup pandai, hanya pandai bercakap tapi gagal membuktikan kemampuan sebenar. Diagnosis ADHD mengubah pandangan saya sebenarnya saya bukan lemah, cuma berfungsi dengan cara yang berbeza,” katanya yang juga penasihat Malaysian Adult ADHD Society.
-- BERNAMA