JENAYAH & MAHKAMAH

Pensyarah Institut Kemahiran Di Perlis Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Pelajar

17/10/2025 12:29 PM

KANGAR, 17 Okt (Bernama) -- Seorang pensyarah sebuah institut kemahiran di Perlis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar lelaki pada Februari lepas.

Syed Luqman Syed Muhammad Arif, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Qairil Mohammad Zahid, 22, di pondok pengawal keselamatan institut kemahiran tersebut di Beseri pada 9.45 malam 22 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis ASP Norliza Abdullah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin terhadap OKS.

Peguam Zuhair Ahmad Zakuan, yang mewakili OKS, memohon jaminan minimum atas alasan Syed Luqman menanggung isteri yang sedang hamil anak sulung mereka serta ibu bapanya.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim membenarkan OKS diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Nov ini untuk sebutan semula kes.

  -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2479893