SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di sini cedera dan dimasukkan ke hospital dipercayai dipukul dua murid lain dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa berusia tujuh tahun dipukul oleh dua murid lelaki darjah tiga pada waktu rehat di kantin sekolah terbabit.
"Mangsa kanak-kanak lelaki warga tempatan dimasukkan ke Hospital Shah Alam pada 15 Okt lepas dan ibu mangsa telah melaporkan kejadian di balai polis pada 9.51 malam hari yang sama.
"Mangsa kini masih berada di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun pihak polis masih melakukan siasatan dan sedang mengenal pasti kecederaan dialaminya akibat kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal justeru memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Mohamma Taha di talian 0145130450.
-- BERNAMA