AM

JHEV Harap Kutipan Tabung Pahlawan Sesi 2025-2026 Capai Sasaran

17/10/2025 03:05 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap Kempen Tabung Pahlawan sesi 2025-2026 yang dilancarkan Ogos lepas dapat mencapai sasaran RM3 juta.

Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Datuk Semaon Marjuki berkata ia penting kerana sumbangan tersebut akan disalurkan kepada 221,825 veteran tentera yang uzur dan memerlukan bantuan.

“Jumlah itu termasuk mereka yang berpencen, tidak berpencen dan balu yang menerima pencen terbitan.

“Kutipan sumbangan ini akan dimanfaatkan kepada veteran memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jubli Perak JHEV ATM sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau di sini hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini, dilaporkan berkata kempen tabung itu berjaya mengumpul sumbangan RM1.095 juta setakat ini.

Mohamed Khaled optimis sasaran kutipan RM3 juta mampu dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat awam, agensi kerajaan, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2479959