JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 500kg Daun Ketum Dirampas, Tiga Beranak Antara Ditahan

17/10/2025 04:59 PM

KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan penjualan daun ketum di daerah ini dengan rampasan lebih 500 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Gambang, Felda Lepar Hilir 1 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata hasil risikan dan operasi dijalankan pada 2.40 petang itu, pihaknya turut menahan lapan lelaki tempatan yang tidak bekerja berusia antara 18 hingga 46 tahun.

Beliau berkata enam daripada suspek ditahan di dalam dan bahagian belakang sebuah lori putih, manakala dua lagi lelaki ditahan di garaj hadapan rumah itu.

Menurut Ashari, tiga daripada suspek didapati mempunyai talian persaudaraan iaitu seorang bapa berusia 46 tahun yang dipercayai dalang utama kegiatan itu dan dua lagi anaknya. 

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, polis menemukan 23 bungkusan plastik lut sinar berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 509.7kg. 

“Kami juga mendapati daun ketum itu diletakkan ais dan simpan di dalam jerami padi sebelum dibalut plastik, mungkin untuk mengekalkan kesegaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini.

Ashari berkata turut ditemukan adalah beberapa peralatan memasak daun ketum iaitu dua dapur gas, dua periuk, sebuah penimbang serta tong gas.

Beliau memaklumkan nilai pasaran daun ketum yang dirampas dianggarkan RM20,400 dan jika diproses boleh mencecah sehingga RM52,500, selain boleh digunakan kira-kira 3,500 individu.

Menurut Ashari, modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan lori sewa untuk mengaburi pihak berkuasa semasa menjalankan aktiviti jual beli daun ketum yang disyaki aktif sejak Julai lepas.

“Siasatan awal mendapati, dua daripada suspek iaitu pemandu dan kelindan lori sewa itu mengaku menerima upah RM1,200 bagi setiap penghantaran.

“Kedua-dua suspek juga mengaku menerima tempahan serta menyewa lori untuk menghantar ketum di sekitar Kuantan. Kenderaan yang menggunakan logo sebuah syarikat penghantaran itu telah digunakan sekurang-kurangnya empat kali bagi urusan penghantaran,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang didapati negatif saringan awal air kencing direman empat hari sehingga 20 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480027