BALING, 21 Okt (Bernama) -- Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan peras ugut terhadap seorang lelaki di Kampung Asam Jawa, Mukim Pulai, bulan lepas.
Tertuduh, Lans Koperal Sharif Abu Hurairah Abu Bakar, 24, dan Konstabel Mohammad Nashrul Alif Alahuddin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Kedua-dua mereka didakwa bersama melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dengan mendatangkan ketakutan bagi mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200 di tepi Jalan Parit Panjang, Kampung Asam Jawa, Mukim Pulai di sini pada 7.38 malam, 19 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Shathish.
Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling itu ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mereka ditahan selepas ibu mangsa berusia 74 tahun membuat laporan polis mendakwa anaknya mengadu ditahan dua anggota polis bermotosikal dan diminta menyerahkan wang sebanyak RM200 pada 19 Sept lepas.
Bagaimanapun, ketika mereka dalam perjalanan untuk menyerahkan wang berkenaan, lelaki itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
-- BERNAMA