JENAYAH & MAHKAMAH

Geng Pecah Rumah Warga Amerika Latin Tumpas

17/10/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Polis menumpaskan kumpulan pecah rumah warga Amerika Latin yang menyasarkan kediaman mewah dengan penahanan empat lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata tiga warga Colombia serta seorang warga Mexico berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada 10 malam menerusi serbuan dijalankan pihaknya dengan kerjasama JSJ Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields. 

“Berikutan tertangkapnya geng ini, empat kes pecah rumah diselesaikan dengan kerugian hampir RM1 juta. Dua daripada kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rumah mewah yang menjadi sasaran kumpulan itu dibuat secara rawak dan kegiatan pecah rumah dilakukan sekitar waktu petang ke malam ketika penghuni tiada di rumah.

Kumar berkata dua daripada suspek dipercayai dalang kumpulan yang memainkan peranan mengenal pasti sasaran.

Katanya tiga warga Colombia itu didapati memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan manakala warga Mexico masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati dua suspek warga Colombia masing-masing memiliki tiga serta enam rekod lampau selain pernah ditangkap pada 2012 dan 2014 membabitkan kes sama.

“Kesemua suspek masih direman sehingga 19 Okt untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya sambil menambah kes itu masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat kes lain membabitkan kumpulan itu.

Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai pelbagai mata wang, rantai emas, cincin, telefon bimbit serta kenderaan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480111