JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Bekas Pegawai Bank Didakwa Terima Rasuah Lebih RM170,000 Berhubung Pinjaman Peribadi

17/10/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Empat bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM170,000 membabitkan permohonan pembiayaan pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.

Noor Iskandar Aziz, 44, Muhammad Najmi Mu'az Pekan, 34, dan Amir Hafizi Anuar, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Noor Iskandar yang ketika itu bertugas sebagai pegawai pemasaran didakwa atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM94,173 daripada Syarikat CSA Infinite Consultancy, Ong Kim Hock, Ong Mun Ho, Lim Kim Yen dan Anas Syazwan Abd Samad.

Sementara Muhammad Najmi Mu'az, yang ketika itu merupakan eksekutif pembiayaan pengguna berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,567 daripada syarikat JWW Titans Trading dan Lim.

Amir Hafizi, sebagai pegawai pemasaran pula berdepan tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM37,347.76 daripada Syarikat CSA Infinite, Syarikat JZ Solution dan Lim.

Kesalahan itu dilakukan ketiga-tiga tertuduh sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan bagi Syarikat CSA Academy yang membuat permohonan serupa di beberapa institusi kewangan lain secara serentak sehingga menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman melebihi had kelayakan.

Sementara itu, Syazwan Akmal Badran, 33, yang mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi, didakwa atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42,681.63 daripada Syarikat JWW Titans, Syarikat CSA Infinite, Lim dan Syarikat JZ Solution bagi tujuan serupa, ketika bertugas sebagai pegawai pemasaran.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Maybank dan RHB Bank di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur antara 5 Okt 2021 hingga 5 Julai 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan ikat jamin bagi keempat-empat tertuduh dengan nilai antara RM10,000 hingga RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dikehendaki melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Rosli menetapkan sebutan kes Noor Iskandar pada 20 Nov dan 10 Dis untuk Muhammad Najmi Mu'az dan Amir Hafizi manakala Azura menetapkan 3 Dis bagi Syazwan Akmal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee, M.Esther Jacyntha dan Nidzuwan Abd Latip. Syazwan Akmal tidak diwakili peguam manakala tiga tertuduh lain diwakili peguam A.Rayveni, Abdul Hakeem Aiman Mohd Affandi dan Humaidi Zulkifli.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480114