KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor, dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.14 petang.
“Setibanya di lokasi pada 2.45 petang, didapati sebatang pokok telah tumbang menghempap sebuah Toyota Hilux, melibatkan seorang mangsa lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi, dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata mangsa yang berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu penyelaras acara di sebuah inap desa di Batang Kali.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat yang menyebabkan sebatang pokok di tepi jalan raya tumbang dan menghempap kenderaan dipandu lelaki itu.
“Mangsa dikeluarkan daripada kenderaan yang dihempap pokok oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat yang dilaksanakan malam ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA