KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan hanya akan meletakkan calon di kawasan berpotensi tinggi untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata UMNO Sabah telah diberi kuasa autonomi untuk memilih calon yang akan diketengahkan mengikut perkiraan sendiri.
“Namun kita harus mengakui hakikat bahawa kita hanya meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk menang dan kita akan mengutamakan calon yang telah dikemukakan UMNO Sabah sendiri.
“Kita menerima sampai lima bakal calon dikemukakan…namun kita kena teliti terlebih dahulu calon berkenaan serta tempat yang akan ditandingi…yang penting calon berkenaan dijangka boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai ODEC Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) telah dibuat agar tidak berlaku pertindihan pada PRN17 Sabah.
“Ya, kita telah berbincang dengan PH agar tiada pertindihan kerusi…namun perbincangan dan rundingan masih dilaksanakan dengan pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Berhubung keputusan mahkamah mengenai 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah, Ahmad Zahid berkata kerajaan menghormati keputusan tersebut.
“Kita akan meniliti keputusan tersebut dan biar Perdana Menteri bawa perkara berkenaan untuk dibincangkan dengan Jermaah Menteri,” katanya.
-- BERNAMA