GEORGE TOWN, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sentiasa komited memastikan kemajuan masyarakat India terus diperkukuh dengan penekanan terhadap peluang ekonomi, pendidikan berkualiti dan kesejahteraan komuniti.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sebagai kerajaan yang prihatin, tekad dalam memastikan setiap rakyat Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang menikmati manfaat pembangunan secara saksama terus membara.
"Sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun negeri, membuktikan bahawa kerajaan sentiasa komited memastikan kemajuan masyarakat India terus diperkukuh dengan penekanan terhadap peluang ekonomi, pendidikan berkualiti dan juga kesejahteraan komuniti.
"Malah, dalam arus pembangunan masa kini, Deepavali mengingatkan kita bahawa kemajuan sebenar tidak hanya diukur melalui pencapaian bersifat kebendaan sahaja sebaliknya melangkaui keutuhan nilai kemanusiaan, kasih sayang sesama insan dan semangat bekerjasama," katanya perutusan sempena sambutan Deepavali 2025, hari ini.
Beliau berkata 2025 menjadi detik penting untuk memperkukuh langkah ke arah merealisasikan Visi Penang 2030 dan pelbagai dasar serta inisiatif yang bukan sahaja menumpukan kepada percambahan ekonomi tetapi juga pembangunan insan dan kesejahteraan sosioekonomi seluruh rakyat terus dilaksanakan.
Chow berkata pembangunan Pulau Pinang tidak akan bermakna sekiranya ada yang tertinggal di belakang dan selaras hasrat itu, pelbagai inisiatif perumahan dan komuniti diperkenalkan antaranya, projek penempatan semula bersepadu kepada penduduk Ladang Byram, Seberang Perai Selatan (SPS) membabitkan kos RM18.4 juta.
"Pada masa sama, pemerkasaan modal insan terus menjadi fokus utama kerajaan negeri dan sejak 2010 hingga 2024, di bawah seliaan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang, sebanyak 3,755 pelajar telah menerima biasiswa membabitkan nilai RM4.92 juta," katanya.
Beliau berkata dalam aspek keagamaan pula, kerajaan negeri sentiasa menghargai dan menyokong pembangunan rumah ibadat dan peruntukan juga disediakan bagi pelbagai program termasuk di sekolah-sekolah Tamil.
Chow berkata pada peringkat Persekutuan, Belanjawan 2026 turut memperlihatkan pelbagai langkah signifikan bagi memperkukuh komuniti India antaranya inisiatif Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) yang menerima peruntukan RM100 juta dan program sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
-- BERNAMA