DUNIA

Gaza: Misi Bantuan Diteruskan Ketika Pasukan PBB Mulakan Pembersihan Sehingga 60 Juta Tan Sisa Runtuhan

21/10/2025 01:27 PM

NEW YORK, 21 Okt (Bernama-WAM) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyatakan dorongan terhadap komitmen semula gencatan senjata di Gaza, namun memberi amaran bahawa keganasan terkini boleh menjejaskan kemajuan rapuh yang dicapai, ketika usaha pemulihan — termasuk projek pembersihan runtuhan — semakin giat dijalankan di wilayah yang musnah akibat perang itu.

“Kami berasa terdorong apabila semua pihak mengesahkan semula komitmen mereka untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, dan kami memuji usaha berterusan para pengantara.

“Namun begitu, kami kekal bimbang terhadap semua tindakan keganasan di Gaza serta serangan dan tembakan yang dilaporkan berlaku semalam,” kata Jurucakap PBB Stéphane Dujarric pada sidang media berkala di New York, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Dujarric menggesa semua pihak mematuhi tanggungjawab masing-masing dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan semula permusuhan, sambil mengulangi gesaan Setiausaha Agung PBB agar semua mayat tahanan yang terkorban diserahkan.

“Sepanjang hujung minggu lalu, kami bersama rakan kerjasama terus mengumpul bantuan dari lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem dan Kissufim. Ini termasuk kit penjagaan selepas bersalin dan kebersihan, bekalan perubatan, bahan api, air serta makanan,” katanya.

Beliau berkata bahawa pada Ahad, buat kali pertama pihak berkuasa Israel membenarkan PBB menempatkan pemantau di lintasan Kissufim.

“Ini tentunya satu perkembangan positif kerana ia memberi kami keupayaan untuk memantau dengan lebih jelas segmen laluan bantuan itu,” kata Dujarric.

Di Bandaraya Gaza, Program Pembangunan PBB (UNDP) telah memulakan operasi besar-besaran membersihkan sisa runtuhan — fasa pertama daripada pelan pengurusan runtuhan menyeluruh yang bertujuan memulihkan semula akses kepada perkhidmatan penting seperti hospital dan sekolah.

“Sisa runtuhan merupakan cabaran besar di Gaza, dengan anggaran jumlahnya antara 55 hingga 60 juta tan,” kata Wakil UNDP di Palestin, Jaco Cilliers.

-- BERNAMA-WAM

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481017