BRUSSELS, 21 Okt (Bernama-QNA) -- Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Kaja Kallas pada Isnin mengesahkan bahawa blok itu masih mengekalkan kemungkinan untuk mengenakan sekatan terhadap pendudukan Israel, sebagai usaha memastikan pematuhan terhadap gencatan senjata sepenuhnya di Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Selepas mesyuarat menteri-menteri luar EU di Brussels, Kallas berkata gencatan senjata telah mengubah konteks semasa.
“Namun selagi kita belum melihat perubahan sebenar dan berterusan di lapangan, termasuk penyaluran lebih banyak bantuan ke Gaza, ancaman sekatan kekal dalam pertimbangan.”
“Buat masa ini, kami tidak menggugurkannya daripada pertimbangan, tetapi juga belum bergerak ke arah pelaksanaannya kerana situasi masih sangat rapuh,” katanya.
Kallas turut menyatakan bahawa EU menjangkakan Israel mengambil beberapa langkah penting, termasuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza serta membenarkan kemasukan wartawan ke wilayah itu.
Sebagai penderma antarabangsa terbesar kepada rakyat Palestin, EU kini menilai peranan lebih besar yang boleh dimainkan di Gaza selepas perang berakhir.
EU juga telah mengaktifkan semula misi awamnya bagi memantau lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir sebagai sokongan kepada perjanjian gencatan senjata, namun pelaksanaannya masih digantung sementara menunggu pembukaan semula lintasan itu.
-- BERNAMA-QNA