PARIS, 21 Okt (Bernama-dpa) -- Bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy akan mula menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara La Santé, Paris pada Selasa, selepas mahkamah mensabitkannya bersalah menerima dana kempen haram daripada Libya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penjara berkenaan mempunyai bahagian khas bagi tahanan yang memerlukan perlindungan tambahan, termasuk individu berprofil tinggi dan selebriti.
Sarkozy disabitkan bersalah bulan lalu atas pertuduhan konspirasi jenayah.
Mahkamah turut mengarahkan pelaksanaan segera hukuman, bermakna Sarkozy, 70, perlu mula menjalani hukuman meskipun sedang memfailkan rayuan.
Beliau sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dikenakan.
Disebabkan faktor usia, Sarkozy boleh memohon pembebasan bersyarat sebaik memasuki penjara, selaras dengan peraturan di Perancis yang membenarkan banduan berusia 70 tahun ke atas berbuat demikian.
Sarkozy dilaporkan bertemu Presiden Emmanuel Macron di Istana Élysée pada Jumaat, manakala Menteri Kehakiman Gérald Darmanin mengumumkan hasrat melawatnya di penjara.
Kes skandal Libya itu berkisar pada dakwaan bahawa jutaan euro disalurkan secara haram ke dalam kempen pilihan raya presiden Sarkozy pada 2007 oleh rejim pemimpin Libya ketika itu, Moamer Gaddafi.
Mahkamah Jenayah Paris mensabitkan Sarkozy atas kesalahan konspirasi jenayah namun membebaskannya daripada tuduhan rasuah, pembiayaan kempen haram dan penyelewengan dana awam.
-- BERNAMA-dpa