SUKAN

Terbuka Perancis: Wei Chong-Kai Wun Bermula Langkah Kanan

21/10/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun memulakan kempen Terbuka Perancis 2025 dengan penuh bergaya apabila mudah menyingkirkan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju di pusingan pertama di Arena Glaz, Cesson-Sevigne hari ini.

Beregu pilihan ketujuh itu mencatat kemenangan 21-9, 21-13 dalam masa 27 minit pada hari pembukaan kejohanan Super 750 itu.

Pasangan nombor lima dunia itu akan bertemu juara Terbuka Artik 2025 dari England Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan berikutnya.

Lane-Vendy menafikan pertemuan sesama beregu Malaysia di pusingan kedua apabila mereka menyingkirkan pasangan profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-14, 21-13.

Terdahulu, beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal menamatkan badi kekalahan kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran selepas tewas 17-21, 17-21 sekali gus mencatat kekalahan ketiga berturut-turut kepada pasangan pilihan ketiga itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481248