JOHOR BAHRU, 22 Okt (Bernama) -- “Beberapa hari sebelum dia pergi, saya selalu mimpi dia dah meninggal dunia... tapi saya fikir tidak baik fikir macam itu,” kata kakak kepada Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizie, 9, yang ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah malam tadi.
Nur Qisha Adelia, 11, berkata mimpi itu datang berulang kali, seolah-olah menjadi petanda adiknya akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
“Saya tak sangka, rupanya Allah dah tunjuk petanda. Bila dapat tahu adik saya lemas, saya terus teringat mimpi itu dan saya sangat sedih,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Nur Qisha Adelia berkata sebelum kejadian, adiknya sempat bermain bola di kawasan berhampiran rumah mereka dan itu menjadi detik terakhir dia melihat mangsa.
“Kali terakhir saya nampak dia dalam pukul 6 lebih. Selepas itu dah tidak jumpa dan saya mula rasa tak sedap hati bila adik tak balik walaupun dah lewat. Saya memang akan rindu dia, selepas ini tiada lagi gelak tawanya,” katanya dalam nada sebak.
Nur Qisha Adelia berkata pada malam sebelum berita pemergian adiknya diterima, dia turut bermimpi Rayyan datang kepadanya dan meminta maaf.
“Dalam mimpi itu dia kata, ‘Kak, maafkan aku, jangan nangis, macam mana aku nak pergi dengan tenang.’ Saya terbangun dan terus menangis… masa tu saya dah rasa lain,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa Nur Shuhadah Ramli, 30, berkata beberapa hari sebelum kejadian, arwah mengadu sering mengalami sakit perut dan pening kepala hingga tidak mahu keluar rumah.
“… tapi semalam dia keluar rumah tanpa beritahu apa-apa… saya cuma dapat tahu daripada ibu Khalish yang maklumkan mereka pergi memancing,” katanya sebak.
Nur Shuhadah berkata Muhammad Rayyan seorang anak yang manja dan berhati lembut serta sangat rapat dengan rakannya Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10, yang turut ditemukan lemas dalam kejadian itu.
“… kalau kena marah sikit pun dia cepat sedih. Dia memang berkawan rapat dengan Khalish sejak kecil. Dia memang suka pergi memancing. Saya sangat sedih bila dapat tahu Rayyan lemas di tasik,” katanya.
Dalam kejadian itu, Muhammad Rayyan dan Muhammad Khalish ditemukan lemas di tasik berkenaan pada kedalaman kira-kira 10 kaki di bawah batu, pada jarak lima meter dari tebing tasik, pada 2.28 pagi.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk proses bedah siasat.
-- BERNAMA