JOHOR BAHRU, 22 Okt (Bernama) -- Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, di sini awal pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK II Shafie Md Don berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.44 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami menemukan dua pasang selipar di tepi tasik dipercayai milik dua kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun yang dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba menjalankan pencarian di permukaan air menggunakan teknik water surface searching pada radius 25 kaki sebelum pasukan Penyelam di Air (PPDA) meneruskan operasi menggunakan teknik arch pattern,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira 10 kaki di bawah batu, pada jarak lima meter dari tebing tasik, pada 2.28 pagi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizie, 9, dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10.
Operasi dikendalikan BBP Johor Jaya dengan kekuatan 14 anggota itu turut dibantu pasukan dari BBP Skudai serta melibatkan tiga jentera iaitu masing-masing sebuah FRT, EMRS dan utiliti.
Operasi tamat sepenuhnya pada 3.05 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berasingan berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa keluar rumah sejak petang untuk memancing ikan di kawasan tasik berhampiran.
“Namun sehingga malam, kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah. Usaha pencarian oleh ahli komuniti PPR Pelangi Indah menemukan dua pasang selipar dipercayai milik mangsa di tepi tasik sebelum pihak polis dihubungi untuk bantuan,” katanya.
Beliau berkata pasukan dari Balai Polis Taman Pelangi Indah bersama anggota bomba dari BBP Johor Jaya, PPDA BBP Skudai serta pasukan bomba sukarela Ulu Tiram dan Mount Austin menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.
“Pada 2.10 pagi, mayat mangsa pertama dijumpai diikuti mayat mangsa kedua pada 2.18 pagi, dengan jarak kira-kira lima meter antara satu sama lain,” katanya.
Raub berkata pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA