MELAKA, 22 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka terus memperkukuh usaha menyemarak seni dan warisan budaya negeri melalui persembahan muzikal yang mengangkat keunikan seni tempatan sebagai tarikan pelancongan berteraskan budaya.
Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata persembahan itu antara pengisian utama Malam Lestari Seni Budaya iaitu acara kemuncak Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Pengkalan Rama Pantai bermula 24 Okt ini.
“FSSSM menjadi platform memperkukuh aktiviti seni dan pelancongan berteraskan budaya, seiring dengan status Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, selain menyemarakkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai etnik di negara ini.
“Selat Melaka sejak berabad lamanya menjadi pusat perdagangan, pertukaran budaya dan titik pertemuan pelbagai tamadun dunia yang membentuk identiti unik masyarakat tempatan Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti, Portugis serta komuniti antarabangsa,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata Malam Lestari Seni Budaya anjuran JKKN Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menampilkan acara yang menggabungkan lima segmen persembahan muzikal yang mengetengahkan sejarah, warisan dan kepelbagaian budaya rantau Selat Melaka.
Beliau berkata segmen pembukaan bertajuk Pelayaran Mendam Berahi menampilkan pelayaran bot membawa tetamu kehormat ke lokasi acara, diikuti persembahan ‘Gema Selat Melaka’ yang dinyanyikan oleh Datuk Syafinaz Selamat sebagai lagu rasmi festival.
“Persembahan seterusnya bertemakan Kehebatan Selat Melaka menggambarkan perkembangan Melaka daripada sebuah muara kecil menjadi pelabuhan maritim terkenal, diserikan dengan deklamasi syair oleh Raja Syair Nusantara Roslan Madun serta persembahan lagu ‘Lemak Manis’.
“Segmen ini juga mempersembahkan pelbagai kesenian masyarakat berbilang kaum seperti Keroncong Peranakan Melaka oleh Persatuan Peranakan Cina Melaka, persembahan masyarakat Portugis serta tarian Main Zapin oleh pelajar Fakulti Tari ASWARA dan Medley Langgam Melayu,” katanya.
Beliau berkata segmen Evolusi Diaspora Selat Melaka pula menggambarkan pertembungan budaya Timur dan Barat yang melahirkan ekosistem seni pelbagai warna, dengan penampilan artis tempatan dan rantau ini termasuk Evone Song, Zanie Zain, Aien Othman, Zubir Khan, Datuk Syafinaz Selamat, Azlan dan Aishah Retno.
“Segmen penutup festival akan mempersembahkan Joget Kereta Lembu, Senandung Anak Melaka serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sebelum menutup tirai dengan pertunjukan bunga api,” katanya.
Ezlina berkata FSSSM 2025 yang bertemakan ‘Mulanya Di Sini! Pusat Pertemuan Budaya’, melambangkan usaha mengangkat warisan dan keunikan seni budaya hasil pertembungan pelbagai bangsa di sepanjang perairan Selat Melaka.
Beliau berkata tema itu meraikan diaspora seni budaya Selat Melaka yang menekankan pentingnya melestarikan warisan sebagai jambatan perpaduan antara kaum, memperkukuh jati diri bangsa dan menjunjung bahasa Melayu sebagai lingua franca rantau ini.
-- BERNAMA