GAYA HIDUP

Penyanyi Hip-Hop, Balan Kash Galak Pemuzik Tempatan Perkukuh Identiti Sendiri

22/10/2025 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Penyanyi hip-hop tempatan Balan Kash berharap lebih ramai penggiat muzik negara membina identiti tersendiri dalam karya mereka, selain berhenti menjadikan artis luar sebagai ukuran kejayaan.

Kata artis berusia 42 tahun itu krisis identiti dalam industri muzik tempatan berpunca daripada kecenderungan masyarakat mengagungkan pemuzik luar negara, sedangkan bakat tempatan mempunyai keupayaan dan potensi yang setanding.

“Kita sering meletakkan artis luar sebagai penanda aras, tetapi hakikatnya ramai pemuzik Malaysia mempunyai karya yang kuat dan berdaya saing. Mereka hanya perlukan ruang dan sokongan daripada ekosistem tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama pada RiuhxASEAN: Persidangan Muzik Frequensea di GMBB, di sini semalam.

Balan berkata persepsi bahawa muzik tempatan tidak setanding dengan produk luar telah lama membentuk budaya mendengar dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda yang lebih sinonim dengan K-pop, hip-hop Amerika dan lagu-lagu antarabangsa.

“Remaja kita boleh hafal lagu Blackpink atau Bad Bunny, tapi tak kenal lagu Too Phat atau Butterfingers. Ini bukan salah mereka, tapi sistem yang tidak memberi ruang seimbang kepada muzik Malaysia untuk kedengaran di platform arus perdana,” katanya.

pic-2

Pelantun lagu CEKAP itu berkata media arus perdana serta platform digital perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh muzik tempatan dengan memberi liputan serta putaran adil kepada setiap karya negara ini yang kaya dengan pelbagai bahasa, iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris.

“Kalau di Thailand dan Indonesia, majoriti lagu di radio ialah muzik mereka sendiri, tetapi di Malaysia kita lebih banyak diisi lagu luar. Kita ada stesen Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris tetapi semua beroperasi dalam kelompok masing-masing, sedangkan muzik boleh jadi jambatan. Kenapa radio Inggeris tak boleh main lagu Melayu atau sebaliknya?" katanya.

Penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu yakin muzik Malaysia berpotensi menjadi "powerhouse" serantau jika aspek identiti diberi penekanan semula, termasuk dari segi lirik, bunyi dan naratif yang menggambarkan realiti masyarakat tempatan.

“Kita ada artis hebat seperti Yuna, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Shila Amzah, tapi untuk sampai di tahap lebih jauh, kita kena kenal diri kita dulu, iaitu dari segi bahasa, budaya dan cerita yang kita mahu bawa,” katanya.

Balan turut menekankan bahawa pembinaan identiti negara bukan hanya pada bahasa, tetapi pada kesedaran bahawa setiap pemuzik tanpa mengira kaum memainkan peranan dalam membentuk wajah muzik kebangsaan.

“Saya orang India, tapi saya juga orang Malaysia. Sudah tiba masanya kita berhenti mengasingkan muzik ikut kaum. Kita kena lihat diri sebagai bangsa Malaysia yang berkarya untuk dunia,” katanya.

Balan Kash yang aktif dalam industri muzik tanah air lebih sedekad, dikenali dengan karya merentasi perbezaan kaum melalui lagu-lagu versatil dalam bahasa Tamil dan Inggeris selain pernah bekerjasama dengan komposer terkenal India Anirudh Ravichander menerusi lagu Hola Amigo yang meraih lebih 2.3 juta tontonan di YouTube.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481547