AM

Pemilik Warisan Sound Wak Khair Dipilih Tokoh Seni Selangor 2025

19/10/2025 06:47 PM

SHAH ALAM, 19 Okt (Bernama) -- Pengarah Urusan Warisan Sound Mohd Khair Ghazali dinobatkan sebagai Tokoh Seni Negeri Selangor sempena Majlis Anugerah Seni Negeri Selangor 2025 bagi mengiktiraf sumbangannya terhadap perkembangan seni muzik tempatan.

Mohd Khair, 59, atau lebih dikenali sebagai Wak Khair berkata Warisan Hall Studio yang diusahakannya sejak lapan tahun lepas berjaya membantu ramai artis dan individu untuk berlatih serta mengasah bakat menerusi kemudahan studio bertaraf tinggi di Sijangkang, Kuala Langat. 

"Saya gembira kerana perusahaan saya ini dihargai. Masa saya ingin tubuhkan studio sendiri, ada juga yang kata 'ada ke orang nak datang ke kampung ni' tetapi saya teruskan juga dan sekarang, Alhamdulillah ia berjaya menarik pemuzik luar negara seperti dari Jerman dan Jepun," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini hari ini. 

Anugerah itu disampaikan Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah dan turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.

Sementara itu, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menerima Anugerah Pendukung Seni bagi kategori jabatan kerajaan/korporat manakala Pertubuhan Kebudayaan Sugam Malaysia menerima anugerah yang sama bagi kategori pertubuhan.

Anugerah Pendukung Seni bagi kategori media pula diraih Bahagian Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) manakala Anugerah Khas Juri dimenangi A. Bavany.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480668