PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) merupakan platform terbaik bagi setiap organisasi menilai sejauh mana usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dalam memperkukuh integriti telah mencapai matlamatnya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan tetapi lebih menekankan kepada sejauh mana nilai integriti difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap warga kerja sehingga melahirkan insan berintegriti serta bebas rasuah.
“Dalam konteks ini, AIGA tampil sebagai satu daripada wahana penting yang menyokong aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), iaitu menjadi mekanisme penilaian, pengiktirafan serta pemangkin kepada pembudayaan integriti dan tadbir urus terbaik.
“Jika ARPA adalah peta jalan reformasi, maka AIGA pula adalah mercu tanda yang menunjukkan sejauh mana kejayaan reformasi itu telah dicapai. Kedua-duanya bergerak seiring, memperkukuh tekad kita untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia bertaraf dunia, dengan meletakkan integriti sebagai asasnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan AIGA 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Beliau berkata penganjuran AIGA yang dilaksanakan Institut Integriti Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem integriti, governans dan anti rasuah di seluruh negara.
Bagi AIGA 2025, beliau berkata jumlah penyertaan meningkat kepada 202 organisasi, iaitu peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding 2023, merangkumi 131 agensi awam dan 71 swasta.
Shamsul Azri berkata sesi penilaian AIGA bermula Mac hingga 9 Okt lepas, dengan 19 organisasi menerima Anugerah Emas, Perak dan Gangsa pada edisi kali ini.
Beliau berkata Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi pada 22 Sept lepas turut meluluskan pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans sebagai inisiatif baharu bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor awam.
“Ia merupakan inisiatif untuk memperkukuh integriti, tadbir urus dan antirasuah yang dibangunkan sebagai alternatif kepada Sistem Pengurusan Antirasuah, lebih fleksibel, kos efektif serta sesuai dengan kapasiti agensi di semua peringkat,” katanya.
Katanya, pelaksanaan SPINE dan penganjuran AIGA akan menjadi penyumbang penting kepada kejayaan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional serta usaha berterusan kerajaan membanteras rasuah.
Shamsul Azri turut mengumumkan Anugerah Platinum AIGA kini dinamakan sebagai Anugerah Perdana Menteri, yang bertujuan menzahirkan harapan agar lebih banyak organisasi menyertai program itu pada penganjuran akan datang.
-- BERNAMA