KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya bahawa pasukan elitnya melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang pada 19 Sept lepas seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi, latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami dan dijalankan di bawah kawalan jurulatih kanan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) agensi yang ketat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rosli berkata masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat asar sebelum menerima tugasan seterusnya dan pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih serta tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.
Beliau berkata tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid berkenaan.
Mohd Rosli berkata elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas.
“Latihan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air, dakwaan itu merupakan satu fitnah yang berniat jahat terhadap Maritim Malaysia," katanya.
Mohd Rosli berkata isu laporan polis yang timbul, telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
Terdahulu Takiyuddin di Dewan Rakyat membangkitkan kebimbangan berhubung latihan yang didakwa dijalankan oleh APMM di masjid berkenaan yang didakwanya menimbulkan ketakutan malah dan keresahan dalam kalangan jemaah.
-- BERNAMA