AM

Wanita MyWira Accelerator Perkasa 100,000 Wanita Menjelang 2030

23/10/2025 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan penyertaan 100,000 wanita dalam insiatif baharu dilancarkan, Wanita MyWira Accelerator bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran berimpak tinggi dalam memperkukuh peranan golongan itu dalam ekonomi negara menjelang 2030. 

Inisiatif diterajui Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF) itu juga meletakkan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama menyertai rangkaian Global Gender Parity Accelerator WEF, sebuah platform global yang mempromosikan penyertaan wanita dalam ekonomi. 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif itu menzahirkan komitmen kerajaan terhadap penyertaan dan transformasi tenaga kerja dengan mempersiap wanita negara ini untuk menceburi sektor pertumbuhan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui. 

“Menerusi Wanita MyWira Accelerator, kerajaan menyasarkan untuk merapatkan jurang penglibatan wanita dalam tenaga kerja dengan menawarkan peluang pekerjaan fleksibel, mempromosikan tempat kerja mesra keluarga dan penjagaan serta memperluas akses wanita kepada pekerjaan yang baik terutamanya di luar bandar,” katanya. 

Sim berkata demikian semasa berucap merasmikan program Wanita MyWira Accelerator, bersama-sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Fasa pertama akan melatih 1,000 wanita di bawah program TalentCorp, MyMahir dengan sasaran kadar penempatan kerja sebanyak 80 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat.   

Inisiatif itu disokong menerusi pelaburan bersama sebanyak RM15 juta, dengan penyertaan 1,000 syarikat yang komited melaksanakan amalan kerja fleksibel, menyediakan peluang kembali bekerja kepada wanita selepas berhenti dan mengambil graduan wanita terlatih. 

Dalam masa sama, Sim berkata Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam pemerkasaan wanita beberapa tahun ini, dengan wanita kini merupakan kumpulan majoriti di institusi pengajian tinggi selain kadar penyertaan mereka dalam tenaga kerja meningkat daripada 50.4 peratus pada 2007 kepada 56.3 peratus sekarang. 

Beliau menambah wanita kini memegang 28 peratus jawatan lembaga pengarah dalam syarikat senaraian awam (PLC) di Malaysia dan lebih 30 peratus dalam kalangan 100 PLC teratas berbanding hanya lima peratus pada 2007.

“Jurang gaji antara jantina juga semakin mengecil dengan ketara daripada RM200 pada 2023 kepada hanya RM18 setakat Mac 2025. Ini menunjukkan apabila dasar yang tepat dilaksanakan, perubahan sebenar dapat dicapai,” katanya.

Walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai, Sim berkata Malaysia tidak boleh terlalu selesa sambil menegaskan masih ramai wanita tidak dapat menyertai tenaga kerja terutamanya apabila kemunculan AI dapat menggantikan pekerjaan rutin dan profesional yang lazimnya dipegang golongan tersebut. 

Sementara itu, Nancy berkata program itu menunjukkan komitmen teguh Malaysia untuk membina ekonomi yang inklusif dengan wanita diiktiraf bukan sahaja sebagai penerima manfaat, tetapi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI. 

Beliau berkata, kerangka itu membayangkan masa depan yang makmur, saksama dan mampan berteraskan prinsip kelestarian, keprihatinan serta kasih sayang dengan wanita sebagai pusat transformasi tersebut.

“Kerajaan mengiktiraf bahawa apabila kita memperkasakan wanita, kita turut memperkasakan keluarga, komuniti dan akhirnya negara,” katanya.

Nancy berkata di bawah Dasar Wanita Negara 2025-2030 dengan tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, kerajaan tekad menterjemahkan dasar kepada tindakan nyata dengan menangani halangan seperti diskriminasi jantina dan akses tidak seimbang kepada peluang.

Beliau juga menyentuh komitmen ditunjukkan dalam Belanjawan 2026 termasuk RM230 juta untuk memperkasakan lebih 300,000 usahawan mikro wanita, RM270 juta bagi menyokong perusahan kecil dan sederhana yang diterajui wanita serta RM7.9 bilion untuk pembiayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh saluran bakat baharu.

“Menerusi pelaksanaan Wanita MyWira Accelerator, kita sedang mewujudkan laluan sebenar bagi wanita untuk kembali bekerja, golongan profesional pada pertengahan kerjaya yang ingin berkembang dan bakat muda yang memasuki sektor permintaan tinggi seperti teknologi, digital dan kemampanan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482069