PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Dakwaan bahawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 Sept lepas hanyalah salah faham dan kes itu telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota APMM yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang, dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.
“Janganlah melebih-lebihkan satu program yang bertujuan melahirkan pasukan elit tanpa meneliti fakta sebenar. Perkara ini telah diurus dengan baik pada bulan lepas, namun tiba-tiba diberi gambaran seolah-olah berlaku serbuan komando masuk ruang solat dengan memakai kasut, sedangkan perkara ini amat sensitif,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan checkpoint, dan Masjid Rusila adalah satu daripada tepat persinggahan untuk tujuan menunaikan solat semata-mata.
Beliau berkata kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) setelah polis mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid berkenaan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution mengingatkan semua pihak agar berpada-pada dalam membincangan perkara yang boleh menjejaskan tanggungjawab pasukan penguatkuasaan negara.
“Biar kita berlaku adil dalam menyampaikan maklumat, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar, supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Negara kita perlu hidup aman dan damai, tetapi Parlimen digunakan untuk membangkitkan sentimen sebegini hanya demi keuntungan politik. Saya rasa lebih baik hentikan,” katanya.
-- BERNAMA