Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 23 Okt (Bernama) -- Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mempercepatkan usaha berterusan menandakan sempadan darat bersama susulan Mesyuarat Khas Suruhanjaya Bersama Penandaan Sempadan Darat (JBC) selama dua hari yang diadakan di wilayah Chanthaburi, timur Thailand, dari 21 hingga 22 Okt.
Dalam kenyataan, Kementerian Luar Thailand (MFA) berkata kedua-dua pihak bersetuju mengarahkan Sub-Suruhanjaya Teknikal Bersama (JTSC) menggantikan 15 tiang sempadan di lokasi serta spesifikasi asal, manakala tiga tiang sempadan yang tenggelam akan digantikan di lokasi baharu yang akan dipersetujui bersama.
“Dalam perkembangan penting, kedua-dua negara turut bersetuju mempercepatkan semakan semula Terma Rujukan (TOR) 2003 berkaitan penghasilan peta ortofoto dengan menggunakan teknologi baharu seperti LiDAR (Light Detection and Ranging) bagi mempercepatkan kerja ukur dan penandaan sempadan,” menurut MFA dalam kenyataan pada Khamis.
Mesyuarat Khas Suruhanjaya Bersama Penandaan Sempadan Darat (JBC) itu dipengerusikan bersama oleh Penasihat kepada Kementerian Luar Thailand, Prasas Prasasvinitchai, dan Menteri yang bertanggungjawab bagi Sekretariat Negara Hal Ehwal Sempadan Kemboja, Lam Chea.
Berkaitan segmen sempadan di kawasan Kampung Chouk Chey-Nong Chan dan Kampung Prey Chan-Nong Ya Kaeo, MFA berkata kedua-dua negara komited untuk memuktamadkan Arahan Teknikal (TI) bagi kerja ukur bersama serta pemasangan penanda sementara di kawasan berkeutamaan.
“Selepas kerja ukur dan pemasangan penanda sementara selesai, kedua-dua pihak akan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan masing-masing dan berbincang mengenai mekanisme yang sesuai untuk menangani pelarasan kawasan penempatan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menambah bahawa pemasangan penanda sementara adalah bagi tujuan kerja ukur semata-mata dan tidak menjejaskan sempadan antarabangsa rasmi antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju mengarahkan pihak berkuasa tentera dan awam tempatan untuk memastikan keselamatan Pasukan Ukur Bersama, mengelak sebarang tindakan provokasi, dan membersihkan kawasan periuk api selaras dengan Artikel 3 Memorandum Persefahaman (MoU) tahun 2000,” katanya.
MFA berkata mesyuarat itu berakhir dengan persetujuan kedua-dua pihak untuk mengadakan mesyuarat JBC seterusnya di Siem Reap, Kemboja, pada minggu pertama Januari 2026.
-- BERNAMA