AM

RM7.95 Juta Laksana Projek RTB Sungai Kechil

23/10/2025 10:28 PM

NIBONG TEBAL, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM7.95 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil di sini untuk menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerja-kerja fizikal bagi projek itu telah pun dimulakan dan kini mencapai kemajuan 25 peratus.

“Skop projek ini merangkumi kerja-kerja menaik taraf sungai dan kerja-kerja berkaitan khususnya di Sungai Kechil, Sungai Buaya 1 dan Sungai Buaya 2. 

“Selain itu, dua jambatan sedia ada di CH2300 dan CH1700 Sungai Kechil turut akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan aliran air serta keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Zairil memaklumkan beliau bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang Ooi Soon Lee turun padang bagi meninjau pelaksanaan kerja bagi Projek RTB Sungai Kechil di sini pagi tadi.

Beliau berkata kawasan sekitar Sungai Kechil sering berdepan kejadian banjir yang berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya kapasiti sungai terhad, keadaan ‘air hilir’ daripada Sungai Kerian serta halangan di sepanjang laluan sungai hingga menjejaskan kelancaran aliran air.

Justeru, Zairil berkata pelaksanaan projek itu dijangka akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dalam jangka masa panjang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482244