AM

Musim Tengkujuh : Bantuan Kepada Orang Asli Di Gua Musang Perlu Kebenaran PKOB

23/10/2025 02:34 PM

GUA MUSANG, 23 Okt (Bernama) -- Pemberian bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang semasa Monsun Timur Laut (MTL) perlu mendapat kebenaran Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan penyelarasan lancar.

Pengerusi PKOB Gua Musang Mohd Roshdi Ismail, menasihatkan NGO atau kumpulan 4x4 menghubungi pihaknya terlebih dahulu dan mengelak memasuki kawasan pedalaman bagi mengelakkan kerosakan jalan.

"Kami tidak menggalakkan mana-mana pihak untuk masuk ke kawasan pedalaman kerana boleh menyebabkan jalan menjadi rosak sehingga menyukarkan penduduk untuk keluar jika berlaku hal kecemasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata ketika musim hujan menyukarkan perjalanan penduduk akibat lumpur tebal dan jalan rosak, justeru sebarang aktiviti semasa MTL sebaiknya dikurangkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim menambah bahawa bantuan boleh disalurkan melalui PKOB atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengelak kerosakan jalan tanah merah oleh kenderaan pacuan empat roda.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481956