GAYA HIDUP

AI Dalam Muzik: Masa Depan Dibina Berasaskan Keizinan, Ketelusan

23/10/2025 02:42 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap industri muzik, masa depan para artis perlu dilindungi berteraskan prinsip keizinan, ketelusan dan bayaran setimpal, agar mereka dapat bersama-sama menikmati gelombang inovasi bukan menjadi mangsanya.

Kartini Ludwig, pengarah dan pengasas studio digital kreatif Kopi Su Studio dan Koup Music, berkata kerangka kerja yang adil dan beretika bagi penggunaan AI dalam muzik perlu berpaksikan prinsip keizinan.

“Masa depan yang adil bagi saya ialah yang berpusatkan kerangka kerja berasaskan keizinan, membenarkan model ‘opt-in’ untuk pembangunan mereka dan model asas pada masa depan. Artis atau wakil mereka seharusnya berhak untuk menyatakan, saya memberi kebenaran untuk data saya digunakan dengan cara tertentu,” katanya kepada Bernama selepas berucap pada FrequenSEA: An ASEAN Music Conference di sini semalam.

Persidangan bertemakan “Business, Trends and the Future of ASEAN Music” itu diadakan sebagai sebahagian daripada Riuh x ASEAN 2025, anjuran Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia.

pic-2

Ludwig menekankan penyesuaian industri terhadap AI perlu berasaskan ketelusan dan imbuhan setimpal, memerlukan syarikat menyatakan secara jelas bahan yang digunakan untuk latihan dan cara data digunakan, sama seperti pendedahan dasar privasi atau penggunaan kuki.

“Terdapat nuansa dalam industri muzik dan kreatif tentang sebab data dianggap sebagai satu bentuk harta intelek. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya melombong atau mengumpul data tersebut untuk alat AI, kemudian terpaksa membeli semula daripada mereka,” katanya sambil menegaskan artis berhak mendapat kawalan dan menerima ganjaran yang adil bagi data kreatif mereka.

Ludwig menekankan kawalan kreatif dan pembangunan secara kolaborasi perlu menjadi panduan teknologi muzik pada masa depan.

“Dalam syarikat teknologi besar, ada satu falsafah untuk mereka bergerak pantas dan melanggar sempadan. Akan tetapi, saya berpendapat perlu ada cara baharu membangunkan teknologi yang menumpukan pada matlamat mampan jangka panjang yang memberi faedah lebih adil kepada semua orang,” katanya.

pic-3

Ludwig berkata walaupun artis perlu mempelajari dan menggunakan AI untuk berinteraksi dengan peminat, menjadi tanggungjawab pengawal selia, syarikat teknologi dan label rakaman memastikan mereka tidak dipaksa bersaing dengan AI.

“Saya pernah berborak dengan beberapa orang artis yang mahu menggunakan alatan AI untuk menghasilkan muzik unik buat setiap peminat, sekali gus membolehkan peminat memiliki karya istimewa yang dicipta khusus untuk mereka,” katanya.

Apabila ditanya sama ada teknologi AI berkemampuan menghayati kehalusan budaya dan emosi muzik ASEAN, beliau berkata teknologi itu masih jauh daripada keupayaan mencerminkan keaslian serantau.

pic-4

“Banyak model asas masih bias kepada data latihan berasaskan Barat. Sebagai contoh, model ACE Step dari China telah ditala khusus berdasarkan muzik genre rap China dan kini mampu menghasilkan output yang sangat baik.

“Negara-negara ASEAN seperti Malaysia atau Filipina juga boleh membangunkan model AI mereka sendiri bagi merakam keunikan genre dan bahasa tempatan,” katanya sambil menambah bahawa pembangunan model AI yang dilokalkan dapat membantu memelihara identiti budaya ASEAN dalam era AI generatif.

Sebagai seorang usahawan kreatif, Ludwig berkata menyeimbangkan inovasi dengan etika masih menjadi satu cabaran, sambil menegaskan bahawa beliau kekal berpegang pada prinsip dan hanya bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai sama seperti FairlyTrained.org, Beethoven dan Stability AI.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481965