DUNIA

ASEAN 47: AS Puji Malaysia Selaku Pengerusi Yang Tegas Dan Berkesan

23/10/2025 03:07 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) memuji peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, yang disifatkannya sebagai “tegas dan berkesan” dalam mengemudi blok serantau itu menerusi pelbagai bidang kerjasama utama.

Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan turut menyuarakan keyakinan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan bermula secara rasmi pada Ahad ini akan berlangsung dengan jayanya.

“Malaysia telah menunjukkan kepemimpinan seperti yang kami jangkakan - Pengerusi ASEAN yang tegas dan berkesan. Saya berpeluang berada di Malaysia ketika negara ini menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015 dan 2005, dan setiap kali Malaysia membuktikan keupayaannya yang tinggi. Saya percaya perkara itu berulang tahun ini.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama rapat dalam beberapa bidang utama termasuk digital, sejajar dengan pendekatan Malaysia sebagai Pengerusi,” katanya kepada media pada Dialog Digital Amerika Syarikat-Malaysia yang diadakan di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai kehadiran Presiden AS Donald Trump yang dijadual tiba di Malaysia pada Ahad ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Kagan berkata lawatan itu mencerminkan pengiktirafan Washington terhadap kepentingan Asia Tenggara dan rantau Indo-Pasifik kepada negara itu.

“Itu sesuatu yang besar. Ini merupakan lawatan pertama Presiden ke Asia (bagi penggal keduanya), dan ia satu isyarat penting apabila destinasi pertama yang beliau pilih ialah Malaysia.

“Kami menantikan pertukaran pandangan yang produktif dan perbincangan yang membuahkan hasil,” kata Kagan.

Pada Rabu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI mengesahkan bahawa Trump akan menghadiri mesyuarat serantau itu pada Ahad, yang dijangka menjadi penganjuran terbesar sejak penubuhan ASEAN pada 1967.

Trump dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata bahawa Trump juga dijangka menyaksikan pemeteraian “Perjanjian Kuala Lumpur” - perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diusahakan oleh Malaysia - semasa sidang kemuncak itu.

AS mula menjalin hubungan sebagai rakan dialog ASEAN pada 1977 dan sejak itu hubungan dua hala telah mencapai banyak kemajuan. Pada 2022, kedua-dua pihak telah menaik taraf hubungan itu kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh.

Selain sebagai rakan dialog, AS turut mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF).

Menurut laman sesawang Perwakilan AS ke ASEAN, negara itu merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar di rantau ini dengan lebih 6,000 syarikat AS beroperasi di Asia Tenggara.

ASEAN juga merupakan pasaran eksport kelima terbesar bagi produk makanan dan pertanian AS, manakala ekonomi digital rantau ini dijangka mencecah US$2 trilion menjelang 2030.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dipengerusikan oleh Malaysia akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481983