KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mungkin mengadakan pertemuan di Malaysia dalam tempoh beberapa hari akan datang ketika kedua-dua negara berusaha menangani isu cukai import tinggi yang dikenakan oleh Washington, lapor Reuters memetik sumber diplomatik Brazil.
Laporan itu menyebut akhbar Brazil O Globo, yang memetik sumber, pada Selasa melaporkan bahawa pertemuan kedua-dua pemimpin telah dipersetujui untuk diadakan pada Ahad di Malaysia namun waktunya belum ditetapkan.
Beberapa diplomat Brazil memberitahu Reuters bahawa mereka mengambil sikap berhati-hati dalam perkara itu memandangkan belum ada pengesahan rasmi daripada Rumah Putih.
Seorang pegawai Rumah Putih sebelum ini memaklumkan bahawa terdapat "perbincangan mengenai usaha untuk memudah cara pertemuan itu" di Malaysia susulan perbualan telefon yang mesra antara kedua-dua ketua negara bulan lepas ketika membincangkan isu hubungan ekonomi dan perdagangan.
Kedua-dua pemimpin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di ibu negara Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu yang menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sebanyak 2,854 petugas media daripada 290 agensi telah mendaftar untuk membuat liputan acara bersejarah ini, yang akan turut menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11, melambangkan perpaduan dan peluasan berterusan rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA