AM

RIUH X ASEAN 2025 Jadi "Hab Rentas Budaya" Serantau

23/10/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Festival RIUH X ASEAN 2025 kini menjadi “hab rentas budaya” terbesar di rantau ini dengan menghimpunkan seni, muzik, makanan dan komuniti kreatif serantau dalam satu pentas berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata festival berkenaan bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform integrasi budaya dan ekonomi kreatif yang memperkukuh jalinan komuniti ASEAN.

“RIUH X ASEAN ialah platform serantau yang menggabungkan lebih 150 penggiat kreatif dengan lebih 300 aktiviti kreatif, bengkel, pameran dan juga persembahan muzik.

“Di sini elemen seni, makanan, gastronomi dan komuniti bersatu untuk memupuk apresiasi serta jaringan kolaboratif kreatif, inilah semangat kesepakatan ASEAN yang kita terapkan melalui Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya dalam program Temu Bual Eksklusif terbitan Bernama Radio, hari ini.

Beliau berkata penganjuran edisi kali ini bertepatan dengan tema ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang diterjemahkan melalui pelbagai program seni, budaya dan interaksi komuniti.

RIUH X ASEAN 2025 berlangsung dari 17 Okt hingga 2 Nov di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Stadium Merdeka, GMBB Creative Mall, Audience KL dan Town House Terrace.

Beliau berkata festival itu juga menampilkan pelbagai segmen utama yang memperkukuh konsep hab rentas budaya, antaranya FrequenSea ASEAN Music Conference di GMBB yang merupakan persidangan muzik ASEAN pertama di Malaysia yang berlangsung dari 21 dan 22 Okt lepas.

Antara acara tumpuan lain ialah RIUH X ASEAN Marketplace dari 24 hingga 26 Okt di Stadium Merdeka, yang akan mengetengahkan lebih 60 jenama runcit dan F&B (makanan dan minuman) dari Malaysia, Myanmar, Vietnam, Brunei dan Indonesia.

Nik Kamaruzaman berkata Marketplace yang dianjurkan bersama dengan QSR Brands sebagai rakan penganjur rasmi dan Merdeka 118 sebagai penaja lokasi rasmi itu menyasarkan lebih 30,000 pengunjung sepanjang tempoh berlangsung.

Selain itu, festival berkenaan mengetengahkan elemen komedi, sastera dan seni visual seperti Panggung Gelak, Lead Connect, SEA Slam dan Riuh Gallery Suara Belacu di Audience KL.

Katanya, RIUH X ASEAN turut menjadi kesinambungan kepada kejayaan 85 edisi RIUH sebelum ini yang mencatat lebih sejuta pengunjung dan lebih 10,000 penggiat kreatif dengan menjana nilai ekonomi melebihi RM10 juta.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482041