KOTA KINABALU, 23 Okt (Bernama) -- Pejabat Peguam Negara (AGC) telah memperoleh kebenaran memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan pengaruh media sosial Che Muna Din atau dikenali sebagai Mona Din, berhubung kenyataan didakwa berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Koroner Amir Shah Amir Hassan memberi kebenaran itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.
Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Zara Qairina dimaklumkan bahawa dokumen kes akan disampaikan kepada kedua-dua responden dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Menurut permohonan ex parte, notis surat tunjuk sebab telah disampaikan kepada Mohd Shafie pada 23 Sept, manakala Mona Din menerima notisnya pada 10 Sept.
AGC memaklumkan bahawa Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan, telah membalas melalui surat peguamnya Messrs Tommy Thomas, bertarikh 29 Sept.
“Walaupun responden telah menyerahkan surat balasan berkenaan dan tidak menafikan kenyataan yang terkandung dalam hantaran tersebut, beliau gagal memberikan penjelasan memuaskan terhadap notis surat tunjuk sebab di bawah Perintah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012,” kata Mohamad Mustaffa.
Beliau berkata Mohd Shafie telah membuat kenyataan yang boleh dianggap menghina mahkamah dalam satu hantaran di Facebook atas nama “Shafie Apdal”.
Sementara itu, Mona Din memberi respons melalui perakuan bersumpah bertarikh 19 Sept, dan beliau telah memohon maaf.
-- BERNAMA