KOTA KINABALU, 23 Okt (Bernama) -- Usahawan Sabah diseru merebut pelbagai inisiatif dan bantuan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang bernilai ratusan juta ringgit bagi memperkukuh keupayaan ekonomi negeri itu.
Timbalan Menterinya Datuk Seri R.Ramanan berkata setakat September tahun ini sahaja, sebanyak RM770 juta disalurkan kepada rakyat Sabah menerusi pelbagai program dan agensi di bawah KUSKOP berbanding pada tahun lepas jumlahnya mencecah RM870 juta.
“Contohnya Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp dan program TEKUN turut diberikan kepada rakyat Sabah.
“Hari ini pula kita tampil dengan program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu usahawan kecil. Tahun ini sahaja AIM menyalurkan hampir RM280 juta untuk wilayah Sabah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Aspirasi MADANI anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di sini hari ini.
Program yang menghimpunkan lebih 330 usahawan Kampung Api-Api itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AIM Datuk Shamir Aziz.
Menurut Ramanan, Sabah merupakan negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada AIM dan menerusi kerjasama strategik antara badan itu dengan Yayasan Usahawan Maju, usahawan di negeri itu boleh menikmati pembiayaan maksimum RM54,000 iaitu RM30,000 daripada AIM dan tambahan sehingga RM24,000.
“Saya bukan minta usahawan-usahawan Sabah ambil peluang yang disediakan, saya harap saya boleh paksa mereka untuk mengambil peluang-peluang yang disediakan,” katanya sambil menambah usahawan Sabah bukan sahaja kreatif tetapi juga berdaya maju dan berpotensi besar.
Setakat September lepas, AIM Sabah merekodkan jumlah pembiayaan diluluskan sebanyak RM219.68 juta melibatkan 39,191 pembiayaan dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) sifar peratus.
-- BERNAMA