AM

Grid Tenaga ASEAN Capai Kemajuan Dengan Pelancaran Inisiatif Pembiayaan US$10 Bilion

23/10/2025 05:39 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Grid Tenaga ASEAN (APG) kini mencapai kemajuan penting dengan pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG berjumlah US$10 bilion (US$1=RM4.22) pada Oktober 2025.

Naib Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN PBB) Universiti Sunway Prof Woo Wing Thye berkata inisiatif yang dicetuskan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kumpulan Bank Dunia itu menawarkan rangkaian penuh instrumen kewangan meliputi pinjaman konsesi dan geran kepada perkhidmatan nasihat perkongsian awam-swasta (PPP).

“Paling penting, institusi ini bukan sahaja akan membiayai projek daripada lembaran imbangan mereka sendiri malah juga memangkinkan dana yang besar daripada sektor swasta untuk projek berkaitan APG,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 Oktober, ADB dan Kumpulan Bank Dunia menerusi kerjasama dengan ASEAN melancarkan Inisiatif Pembiayaan APG bagi menyokong pembangunan serta integrasi grid tenaga nasional di seluruh rantau ini.

Pengarah Pembangunan Asia Selatan ADB Winfried F. Wicklein berkata bank itu telah menyatakan komitmen berjumlah US$10 bilion bagi membiayai grid ASEAN yang berkaitan dengan APG selain projek penjanaan tenaga bersih dan sokongan persediaan seperti pinjaman, geran, bantuan teknikal serta pembiayaan campuran.

Woo yang juga Profesor Pelawat Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya berkata momentum APG tercetus daripada usaha dua hala awal pada 1970-an, yang mula-mula dinyatakan pada 1997.

Selepas berjaya merintis pembangunan awal selama 15 tahun, Memorandum Persefahaman (MoU) asas APG baru-baru ini telah diperkukuh dan disahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) pada Oktober 2025.

Beliau berkata tumpuan baharu terhadap perancangan serantau yang teguh adalah faktor untuk memanfaatkan potensi tenaga bersih di rantau ini.

“Pasaran yang bersepadu akan membolehkan penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih besar, menyeimbangkan bekalan dan permintaan rentas sempadan, serta memastikan keterjaminan tenaga yang lebih baik.

“Ini bukan sahaja akan mengurangkan intensiti karbon dan kos malah juga membina daya tahan untuk seluruh rantau terhadap kejutan iklim, turun naik harga bahan api, dan risiko geopolitik,” katanya.

APG adalah inisiatif kerjasama antara negara anggota ASEAN yang bermatlamat untuk menghubungkan rangkaian grid elektrik secara serantau.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482074