JENAYAH & MAHKAMAH

153 Pokok Tumbang Berlaku Di Kelantan Sejak Januari - Bomba

23/10/2025 04:14 PM

KOTA BHARU, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 153 pokok tumbang dari Januari hingga semalam.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata daripada jumlah itu, satu kes kematian dilaporkan terjadi di Tok Bali, Pasir Puteh akibat dihempap pokok tumbang, manakala dua kes kecederaan berlaku di Pasir Puteh dan Bachok.

"Ramalan cuaca di Kelantan menunjukkan kemungkinan berlakunya ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan pedalaman pada sebelah petang dan malam.

"Justeru, kita perlu bersiap sedia lebih awal, walaupun tidak berlaku banjir kemungkinan lain seperti ribut boleh menyebabkan banyak pokok tumbang, purata sebulan kita terima panggilan mengenai pokok tumbang adalah antara 20 hingga 30 kes,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata sebanyak 839 anggota bomba sepenuh masa serta sokongan daripada 16 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti (PBK) telah bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh tahun ini.

"Walaupun MetMalaysia menjangkakan tiada banjir besar berlaku di Kelantan pada tahun ini, kesiapsiagaan tetap dipertingkatkan bagi memastikan tindakan pencegahan, pemantauan awal serta tindak balas pantas dapat dilaksanakan.

"Aset darat dan marin sedia ada akan digunakan sepenuhnya, termasuk 64 bot pelbagai jenis, 12 lori dan 29 kenderaan pacuan empat roda, manakala aset udara seperti helikopter dan dron dari Ibu Pejabat turut berada dalam keadaan siap siaga dan boleh digerakkan pada bila-bila masa untuk ke negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya.

Beliau berkata tiada jentera baharu diterima dan pihaknya akan menggunakan aset sedia ada, malah bilik gerakan pula akan mula beroperasi pada November bagi mengukuhkan koordinasi operasi di seluruh negeri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482028