PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelaskan bahawa laporan sebuah akhbar semalam berhubung kenyataan Ketua Pengarah Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengenai proses pembuangan kerja penjawat awam yang tidak berintegriti adalah tidak tepat dan mengelirukan.
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan itu adalah susulan sesi temu bual khas akhbar berkenaan bersama Mohd Shuhaily pada Selasa dan Rabu lepas di Ibu Pejabat AKPS di sini.
Menurut AKPS, laporan berkenaan menyatakan bahawa proses pembuangan kerja penjawat awam yang tidak berintegriti adalah tidak mudah kerana ia kuasa mutlak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun ia tidak mencerminkan maksud sebenar kenyataan yang disampaikan Mohd Shuhaily.
“Pihak AKPS telah menghubungi pengurusan akhbar berkenaan bagi menyiarkan pernyataan ralat berhubung perkara ini dan ralat itu diterbitkan pada hari ini di muka surat 8, akhbar Berita Harian,” menurut kenyataan itu.
AKPS turut menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul berikutan kesilapan pelaporan berkenaan.
-- BERNAMA