Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kedudukan Malaysia yang strategik sebagai satu-satunya laluan darat antara Thailand dan Singapura menjadikannya pemain penting dalam pembangunan Laluan Rel Singapura-Kunming (SKRL) yang telah lama dirancang, bertujuan menghubungkan China dengan Asia Tenggara melalui koridor rel bersepadu.
Pakar pengangkutan Dr Rosli Azad Khan berkata peranan utama Malaysia dalam “koridor tengah” SKRL menjelang 2030 adalah penting terutamanya dalam negara sedang memperkukuh rangkaian domestiknya melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) antara Gemas dan Johor Bahru.
“Kelebihan Malaysia adalah tertinggi di Johor kerana integrasinya dengan Singapura serta di Lembah Klang dan hab ECRL,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya terdapat kekangan di pihak Malaysia seperti kapasiti rentas sempadan serta keupayaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Johor Bahru, tahap kesiapsiagaan projek landasan berkembar elektrik dari Gemas ke Johor Bahru dan perancangan tolok/antara muka antara rangkaian tolok meter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan sistem tolok piawaian seperti ECRL.
“Bagi SKRL, dua sistem masih berdaya maju jika hab pemindahan dirancang dengan baik seperti di Pelabuhan Klang untuk antara muka ECRL, Johor Bahru untuk rangkaian rentas sempadan dan Padang Besar untuk hubungan ke Thailand,” katanya.
Rosli berkata EDTP perlu diiktiraf sebagai komponen utama dalam kesiapsiagaan Malaysia terhadap SKRL.
“Elektrifikasi laluan Gemas–Johor Bahru akan membolehkan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) beroperasi terus ke Johor dan, akhirnya, ke Singapura.
“Bagi menjadikannya lebih bermakna, perkhidmatan ETS–Singapura perlu dilihat sebagai hubungan antarabangsa berbanding berakhir di Johor Bahru.
“Walaupun visi SKRL mempunyai matlamat yang besar, sasaran 2030 mungkin kekal sebagai harapan tanpa Thailand mempercepat menaik taraf landasan berkembar dan rel berkelajuan tinggi, yang melibatkan kos dan skala kerja yang besar,” katanya.
ECRL Memperkukuh Peranan Malaysia Dalam Rangkaian Rel
Matlamat Malaysia dalam pembangunan rel dapat dilihat melalui projek ECRL yang sedang dijalankan, menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Selangor serta dibangunkan untuk disepadukan dengan hab logistik di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata perbincangan sedang dijalankan untuk sambungan bahagian utara dari Kota Bharu ke sempadan Thailand dan bahagian selatan dari Pelabuhan Klang ke Seremban dan Melaka untuk memperkukuh lagi hubungan perdagangan domestik dan serantau.
Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menyiapkan laluan sedia ada sepanjang 665 kilometer antara Kota Bharu dan Pelabuhan Klang menjelang Disember 2027.
Loke berkata cadangan sambungan sedang dikaji untuk kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi menyelaraskan rangkaian Malaysia dengan matlamat kesalinghubungan ASEAN yang lebih luas.
“ECRL bukan sahaja projek infrastruktur malah juga penghubung nasional yang akan menyepadukan koridor logistik timur dan barat serta melengkapkan inisiatif perdagangan rentas sempadan seperti SKRL,” katanya.
Kemajuan ASEAN Ke Arah Kesalinghubungan Rel Yang Lancar
Di bawah Kerjasama Pembangunan ASEAN-Lembangan Mekong (AMBDC), SKRL akan meliputi kira-kira 7,000 kilometer dan menghubungkan tujuh negara ASEAN, iaitu Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam, dengan Kunming, ibu kota Wilayah Yunnan di China.
Projek itu, bernilai kira-kira US$15 bilion (US$1 = RM4.22), berada di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, menyasarkan untuk meningkatkan pengangkutan penumpang dan kargo serta pelancongan dalam kalangan negara yang menyertainya.
SKRL mempunyai tiga laluan utama dari Kunming — timur, tengah dan barat — semuanya bertemu di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke selatan melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura.
Segmen Kunming–Vientiane telah beroperasi sejak Disember 2021 manakala projek naik taraf landasan berkembar Thailand dan laluan berkelajuan tinggi Bangkok–Nong Khai disasarkan siap menjelang 2030.
Antara Malaysia dan Thailand, landasan sedia ada telah menghubungkan Padang Besar dengan Kuala Lumpur, dan satu perkhidmatan kargo terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok yang diluluskan pada 2025 akan meningkatkan aliran perdagangan rentas sempadan.
Sementara itu, projek RTS Link Johor Bahru-Singapura sedang dibangunkan dan dijangkakan mula beroperasi menjelang akhir 2026, manakala perbincangan untuk melaksanakan semula perancangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura diteruskan.
Kesediaan Infrastruktur Malaysia
Menerusi KTMB, Malaysia melakukan peranan penting dalam Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, menyokong kesalinghubungan rentas sempadan, pemudahan pengangkutan barangan dan penyepaduan dengan projek baharu seperti ECRL.
KTMB berada di landasan untuk menyiapkan EDTP dari Gemas ke Johor Bahru menjelang akhir 2025, yang bersambung dengan landasan Padang Besar-Gemas bagi membentuk jajaran utama kereta api elektrik berterusan di sepanjang Semenanjung Malaysia.
Selain itu, KTMB sedang menaik taraf landasannya daripada 16 tan beban gandar (TAL) kepada 20 TAL untuk menyokong jumlah muatan kargo yang lebih tinggi.
Semua pembangunan itu meletakkan KTMB dalam kedudukan untuk mengendalikan perkhidmatan ETS dari utara hingga ke selatan Malaysia -- satu langkah penting ke arah integrasi SKRL pada akhirnya, menurut KTMB.
Impak Ekonomi Terhadap ASEAN
Penganalisis pengangkutan Abi Sofian Abdul Hamid berkata SKRL boleh menjana peluang ekonomi yang amat besar kepada ASEAN dengan mengurangkan kos logistik dan memperluas akses ke pasaran serantau serta global.
“Berlandaskan infrastruktur dan prosedur yang dipertingkat di negara-negara yang menempatkan landasan ini, pergerakan barangan akan menjadi lebih cepat dan murah.
“Peluang lain adalah apabila landasan ini boleh menyokong pertumbuhan ketara di sepanjang koridornya, sekali gus akan membuka pelaburan dalam projek logistik seperti pelabuhan darat dan juga koridor ekonomi khas,” katanya.
Beliau berkata projek itu akan menyokong matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia dengan mengalihkan lebih banyak kargo dari jalan raya ke kereta api, sekali gus mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon.
“Usaha ini akan mengurangkan bilangan lori di jalan raya dan membantu mencapai sasaran Sifar Karbon Malaysia,” katanya.
Kemajuan Bersama Kekal Penting
Sementara itu, Rosli berkata kejayaan projek kereta api Kunming-Singapura akhirnya akan bergantung kepada kemajuan yang diselaraskan di seluruh rantau ini.
“Malaysia boleh menerajui pelaksanaan di bahagian selatan, khususnya dalam menetapkan piawaian di sempadan dan hab antara mod pengangkutan, supaya rangkaian ini dapat menyokong corak perdagangan ASEAN -- bukan hanya aliran ke arah utara,” katanya.
Beliau mengakui pelabuhan di Malaysia boleh menghadapi sedikit pengalihan kargo kepada pengangkutan kereta api dalam jangka masa panjang, namun menyifatkannya sebagai rahmat yang terselindung apabila mengambil kira manfaat alam sekitar daripada pengangkutan berasaskan rel.
Selain itu, KTMB menjelaskan pihaknya menyasar untuk meningkatkan operasi kereta api penumpang dan kargo menjelang 2030, dengan penyiapan landasan dan infrastruktur sepenuhnya dijangka memperkukuh integrasi serantau.
-- BERNAMA