AM

Rapid Bus Tambah Baik Rapid On-Demand, Perluas Liputan Zon Bermula November

22/10/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan van Rapid KL On-Demand di Lembah Klang, akan menambah baik perkhidmatan melalui penyelarasan aplikasi tempahan dan peluasan zon perkhidmatan bermula pada November ini. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pihaknya menyelaraskan tiga aplikasi tempahan sedia ada, iaitu Mobi, Trek Rides dan Kummute, kepada satu aplikasi bersepadu – Rapid On-Demand – bagi memudahkan proses tempahan dan mempertingkatkan pengalaman pengguna. 

"Penyelarasan ini akan dilaksanakan secara berfasa bermula dengan zon yang kini menggunakan aplikasi Mobi dan Trek Rides (Fasa 1) pada 1 Nov 2025, diikuti dengan zon yang menggunakan aplikasi Kummute (Fasa 2) pada pertengahan November 2025.

"Dengan penyelarasan itu, pengguna kini hanya perlu menggunakan satu aplikasi untuk membuat tempahan Rapid On-Demand di semua zon yang dikendalikan oleh Rapid KL, menjadikan pengalaman perjalanan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, Ku Jamil berkata peluasan zon akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pengguna ke pelbagai destinasi tanpa perlu menukar perkhidmatan. 

"Sebelum ini, pengguna perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi berbeza mengikut zon, yang boleh menimbulkan kekeliruan. Dengan aplikasi tunggal ini, proses tempahan menjadi lebih ringkas, pantas dan konsisten di semua kawasan liputan,” katanya.

Zon baharu melibatkan 50 van dan digabungkan antaranya membabitkan Stesen Metro Prima-Taman Botani Kepong (FRIM), Stesen Serdang Raya Selatan-Taman Bukit Serdang, dan Stesen Semantan-Menara DBKL-Stesen Semantan-KTM Segambut.

Beliau berkata penggabungan zon itu juga dilakukan bagi memperluas capaian perkhidmatan dan meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan utama. 

Ku Jamil berkata langkah itu untuk memastikan pengguna dapat bergerak ke lebih banyak destinasi dengan lebih mudah tanpa perlu menukar perkhidmatan, sekali gus menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih efisien dan mesra pengguna.

Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store, manakala pengguna sedia ada dinasihatkan untuk beralih kepada aplikasi baharu itu sebelum 1 Nov bagi memastikan akses perkhidmatan berjalan lancar.

Maklumat lanjut mengenai zon liputan dan panduan penggunaan boleh diperoleh melalui laman web rasmi Rapid KL www.myrapid.com.my atau media sosial rasmi Rapid KL.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481449