KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga World Scout Foundation (WSF), Puteri Sama binti Faisal Al Saud, di pejabatnya di Putrajaya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kunjungan itu diadakan bersempena 77th World Baden-Powell Fellowship Event yang berlangsung di Kuala Lumpur mulai semalam hingga Ahad ini (26 Okt).
“Perbincangan kami menyentuh peranan WSF dalam memperkasa generasi muda di peringkat global, termasuk inisiatif Messengers of Peace yang memberi impak positif terhadap pembangunan belia dan keamanan sejagat.
“Malaysia dan Arab Saudi berkongsi aspirasi sama dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial dan diplomasi budaya,” katanya.
Perdana Menteri turut berharap hubungan kerjasama itu akan terus mekar dan menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat.
-- BERNAMA