GEORGE TOWN, 24 Okt (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat satu lagi kejayaan berprestij apabila diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara (PKISN) di bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN).
USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengiktirafan itu meletakkan universiti tersebut sebagai institusi rujukan utama negara dalam memperkasa industri sukan yang berdaya saing, selaras dengan agenda pembangunan mampan dan aspirasi Malaysia untuk menjadikan sektor sukan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.
"Pelantikan itu turut memperkukuh peranan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berupaya mengintegrasikan penyelidikan, inovasi, dan kepakaran pelbagai disiplin dalam membentuk ekosistem sukan yang lestari dan berimpak tinggi," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata industri sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dari aspek ekonomi, sosial, dan kesihatan.
Katanya industri berkenaan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan serta menjana pendapatan melalui sektor pelancongan, penyiaran dan penajaan, malah turut memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum melalui semangat kesukanan.
Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Abdul Rahman berkata USM bersedia menyokong agenda besar pembangunan industri sukan negara, sekali gus menterjemahkan komitmen universiti dalam memperkasa pembangunan modal insan berkualiti.
“USM juga sentiasa berusaha memperluas jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta, serta memacu inovasi berasaskan penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing atlet negara di pentas dunia,” katanya.
Menurut USM, Majlis Jemaah Menteri pada 9 Julai lepas telah meluluskan PISN, yang menggariskan hala tuju strategik bagi memperkasa industri sukan negara agar menjadi penyumbang signifikan kepada ekonomi.
Pelan itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengangkat industri sukan sebagai satu daripada enjin pertumbuhan ekonomi baharu, dan Majlis Jemaah Menteri turut meluluskan penubuhan PKISN di empat universiti awam termasuk USM.
“Pentauliahan USM sebagai PKISN dengan teras pembangunan mampan amat bertepatan dengan peranan universiti ini yang mempelopori agenda tersebut. Pengiktirafan ini juga sejajar dengan pencapaian cemerlang USM dalam bidang pembangunan mampan di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, USM dinobatkan sebagai universiti nombor satu dunia bagi tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1), Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh (SDG 16) serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).
Secara keseluruhan, USM berada di kedudukan ke-14 terbaik dunia daripada 2,526 universiti yang dinilai dalam penarafan tersebut.
-- BERNAMA