Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kuala Lumpur hari ini menyaksikan ketibaan ramai pemimpin tertinggi dunia apabila lebih ramai ketua negara mula tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu ini.
Antara yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri Rosangela Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China He Lifeng, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri Dr Tshepo Motsepe, serta Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.
Mereka akan disertai oleh Menteri Luar Finland Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, Menteri Luar Indonesia Sugiono, serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Djamari Chaniago.
Antara pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun di KLCC hujung minggu ini termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun Sanae Takaichi.
Ketibaan mereka menandakan momentum yang semakin memuncak menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Okt ini.
Di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak tahun ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN, berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran global secara bersama serta inklusif.
Acara itu turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste ke arah kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan semasa sidang kemuncak pada 26 Okt ini.
Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan daripada langkah tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Antara mesyuarat utama minggu ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025, serta Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang akan membincangkan strategi untuk menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mengetuainya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA