Oleh Nurul Hanis Izmir
SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão kelihatan teruja setibanya beliau di Malaysia tengah hari tadi, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hujung minggu ini.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau menunggu "pengumuman besar" yang dijangkakan pada Ahad ini (26 Okt), Gusmão tersenyum dan menjawab tanpa teragak-agak: "Sudah tentu, saya datang untuk ini."
Pesawat khas yang membawa Xanana dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut mesra Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ketibaan awal Xanana mencerminkan komitmen terhadap penglibatan serantau dan dalam masa sama menantikan hasil bidaan negara itu bagi keanggotaan ASEAN.
Timor-Leste kali pertama memohon keahlian ASEAN secara rasmi pada Mac 2011, hampir sedekad selepas mencapai kemerdekaan pada 2002.
Sejak itu, negara tersebut berusaha untuk memenuhi keperluan politik, ekonomi dan pentadbiran blok untuk keahlian penuh.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, 2022, pemimpin ASEAN bersetuju untuk memperakui Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dan memberikan status pemerhati kepada negara itu untuk mengambil bahagian dalam semua mesyuarat ASEAN termasuk sidang kemuncak.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2023 di Indonesia, para pemimpin menerima pakai pelan hala tuju untuk keahlian penuh Timor-Leste, memfokuskan pada pengukuhan institusi, pembangunan modal insan dan sokongan pembinaan kapasiti daripada negara anggota ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan ini mengesahkan bahawa Timor-Leste akan secara rasmi menjadi anggota penuh ASEAN pada 26 Okt.
Sebelum ini, Anwar berkata Malaysia, menerusi Kementerian Luar, sedang berusaha untuk memastikan Timor-Leste diterima sebagai anggota tetap blok serantau itu.
Dalam perkembangan lain, pada sesi taklimat media bersama pengarang tempatan dan antarabangsa baru-baru ini, Anwar menyuarakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus melakukan libat urus dan membantu Timor-Leste sambil menegaskan blok itu sendiri pernah menerima sokongan luar pada masa lepas.
“Saya amat optimis bahawa ASEAN sebagai satu komuniti akan terus membantu, sama seperti kami juga pernah menerima bantuan daripada banyak negara seperti negara Barat, China dan lain-lain. Saya tidak fikir kami harus menafikan peluang itu kepada Timor-Leste,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Acara itu yang dijangka menjadi pertemuan terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Antara pemimpin dunia yang dijadualkan menghadiri sidang kemuncak berkenaan ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967, selepas memegang jawatan itu pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA