PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Berikutan Kenaikan Niaga Hadapan Serantau

24/10/2025 06:26 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, sejajar dengan aliran menaik di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga. 

Sentimen pasaran juga dirangsang selepas kebimbangan dalam krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China mula mengendur dan jangkaan pengurangan seterusnya dalam kadar faedah Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah data ekonomi AS yang lemah.

“Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya dibatasi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar US selain kejatuhan dalam harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu menyatakan niaga hadapan getah Jepun melonjak hari ini dan berada di landasan untuk keuntungan mingguan, disokong oleh permintaan yen yang lebih lemah termasuk permintaan yang kuat, manakala harga minyak menurun pada hari Jumaat disebabkan oleh pengambilan keuntungan selepas AS mula menyekat dua syarikat minyak Rusia yang terbesar susulan perang di Ukraine, seterusnya membangkitkan kebimbangan bekalan.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 menokok sebanyak tiga sen kepada 748.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal bertambah 0.5 sen kepada 568.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482592