Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini atas jangkaan permintaan yang lebih lemah pada minggu-minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Katanya, sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh jangkaan pengeluaran yang lebih tinggi pada minggu-minggu akan datang.
“Kami melihat sokongan pada RM4,350 satu tan dan rintangan pada RM4,520 satu tan,” kata Ng.
Secara mingguan, bulan semerta November 2025 yang baharu turun RM43 kepada RM4,382 satu tan, Disember 2025 susut RM47 kepada RM4,403 satu tan dan Januari 2026 merosot RM49 kepada RM4,422 satu tan.
Februari 2026 berkurangan sebanyak RM46 kepada RM4,435 satu tan, Mac 2026 jatuh RM44 kepada RM4,432 satu tan, manakala kontrak April 2026 mencatatkan kerugian sebanyak RM43 kepada RM4,420 satu tan.
Jumlah dagangan melemah kepada 73,808 berbanding 113,478 lot yang disaksikan pada hari Khamis, manakala kepentingan terbuka menyempit sebanyak 265,714 kontrak daripada 270,452 kontrak.
Di pasaran fizikal, November Selatan turun RM10 kepada RM4,440 satu tan.
-- BERNAMA