IPOH, 25 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mempelawa orang ramai untuk menyertai ConvoFest sempena Majlis Konvokesyen ke-25 dari 25 hingga 27 Okt.
UTP dalam kenyataan memaklumkan sempena konvokesyen jubli perak, ConvoFest di kampus universiti menampilkan pelbagai aktiviti sukan, pameran, permainan, bazar, persembahan kebudayaan dan muzik secara langsung.
“Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai juadah dan minuman, menjadikannya sebagai acara perhimpunan yang meriah untuk warga UTP dan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Majlis konvokesyen pada 26 dan 27 Okt akan melibatkan 1,441 graduan terdiri daripada 1,031 pelajar sarjana muda, 326 lepasan sarjana dan 84 doktor falsafah (PhD).
“Turut berlangsung ialah Acara Kepulangan Alumni yang akan menghimpunkan lebih 500 bekas mahasiswa termasuk graduan pertama UTP yang dengan bangga akan mengetuai perarakan konvokesyen,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Shamsina Shaharun berkata ConvoFest merupakan peluang untuk meraikan pencapaian universiti dan menonjolkan perpaduan bersama-sama komuniti setempat.
Beliau berkata majlis konvokesyen tahun ini amat bermakna kerana menandakan suku abad perjalanan UTP dalam melahirkan bakat, memajukan penyelidikan dan menyumbang kepada kemajuan negara.
“ConvoFest menghimpunkan penuntut, alumni dan petugas kami serta komuniti untuk bersama-sama meraikan perjalanan ini,” katanya.
Selain ConvoFest, pelbagai acara turut berlangsung sempena majlis konvokesyen termasuk acara larian ConvoDash, pertandingan memancing UTP Daiwa Bass Master Challenge dan program berbasikal ConvoRide.
-- BERNAMA