AM

Setiausaha Agung ASEAN Puji Kepimpinan Malaysia Kerana Berjaya Harungi Tempoh Mencabar

24/10/2025 04:03 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn memuji kepimpinan Malaysia kerana berjaya menerajui blok serantau itu dengan kesiapsiagaan dan pandangan jauh dalam mengharungi antara tempoh paling mencabar, dan merujuk kepada komitmen kukuh Kuala Lumpur terhadap perpaduan, integrasi ekonomi serta kestabilan serantau.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2025 daripada Laos pada 1 Jan lepas dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” serta berikrar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, memelihara kestabilan dan memajukan wawasan jangka panjang rantau berkenaan.

“Saya memuji kepimpinan Malaysia kerana terus memperjuangkan kepentingan teras ASEAN dalam aspek politik dan keselamatan, ekonomi, sosiobudaya dan ketersambungan,” katanya dalam satu temu bual bersama Radio Republik Indonesia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kao berkata Malaysia telah menunjukkan kepimpinan yang konsisten di tengah-tengah cabaran global termasuk konflik di Ukraine, krisis kemanusiaan di Gaza serta keadaan perdagangan tidak menentu yang terus menguji daya tahan serantau.

Beliau berkata Kepengerusian Malaysia telah mempercepat integrasi ekonomi serantau khususnya melalui usaha menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), satu langkah penting ke arah merealisasikan pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran bersama.

Malaysia juga menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua pada Mei lepas, yang diadakan berturutan dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di mana para pemimpin bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi perjanjian perdagangan bebas antara rantau.

Kao turut memuji Malaysia kerana berjaya memperluas kerjasama ASEAN dengan rakan dialog utama termasuk China, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Kanada dan negara-negara GCC.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dengan sokongan padu daripada semua negara anggota ASEAN, kerana kejayaan Malaysia adalah kejayaan semua negara anggota,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempromosikan keamanan serantau dan pembentukan konsensus terutamanya sebagai pengantara bagi pelaksanaan gencatan senjata serta pemulihan kestabilan susulan pertempuran di kawasan sempadan antara dua negara anggota.

“Saya berpendapat bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Anwar Ibrahim amat bijaksana, berkebolehan dan sangat cekap dalam memimpin pembentukan konsensus melalui peranan beliau sebagai Pengerusi ASEAN, dengan usaha melaksanakan gencatan senjata serta memulihkan kestabilan,” katanya.

Kepengerusian Malaysia juga menyaksikan kemajuan institusi yang signifikan menerusi penerimaan Wawasan ASEAN 2045, dokumen utama yang merangka hala tuju rantau ini untuk dua dekad akan datang, serta empat pelan strategik berkaitan termasuk Ketersambungan ASEAN dan langkah ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste.

“Tahun ini penuh dengan cabaran namun terdapat pelbagai usaha untuk mempromosikan perpaduan, solidariti dan Kepusatan ASEAN.

“Melangkah ke hadapan, ASEAN perlu terus menumpukan perhatian kepada kepentingan dan keutamaan organisasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482490