SUKAN

Isu Pemain Warisan: Tidak Wajar Setiausaha Agung FAM Digantung - Tunku Mahkota Ismail

25/10/2025 08:49 PM

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail tidak bersetuju dengan tindakan menggantung Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman, berhubung isu tujuh pemain warisan.

Baginda bertitah langkah tersebut tidak wajar dilaksanakan, sebaliknya menegaskan bahawa semua pihak terlibat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab terhadap isu itu yang menggemparkan bola sepak negara baru-baru ini.

“Saya tidak bersetuju. Secara jujurnya, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut. Saya tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Saya rasa dalam projek ini ramai yang terlibat dengan projek FAM, membantu FAM. Tak kisah dalam pencarian pemain ataupun apa-apa saja cara. Bagi saya, semua patut memikul tanggungjawab ini dan ambil tanggungjawab, termasuk CEO (Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Kebangsaan Rob Friend) termasuk semua,” titah baginda pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah baginda tidak berminat untuk menunding jari mencari pihak yang bersalah, sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada penyelesaian terbaik bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Sejujurnya, saya tidak berminat dengan permainan menyalahkan orang, dan oleh sebab itu kita di sini untuk mencari penyelesaian.

“Apakah penyelesaian untuk pasukan kebangsaan? …saya tidak berminat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya mahu mencari penyelesaian bagaimana kita boleh selesaikan isu ini,” katanya.

Pemilik kelab gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pada masa sama menyatakan kesediaan menerima kritikan atau tohmahan daripada pihak luar, yang mengaitkan baginda dengan kemelut berkenaan.

Pada 17 Okt lepas, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram memaklumkan bahawa Noor Azman digantung tugas serta-merta berikutan keputusan tatatertib berkaitan dengan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA setelah didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkenaan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.

FAM turut tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan pada peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483064