AM

Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN Bakal Jadikan Rantau Ini Pasaran Digital Tanpa Sempadan – PM Anwar

25/10/2025 10:41 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bakal membuka laluan untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah pasaran digital tanpa sempadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Antara pencapaian utama tahun ini ialah kemajuan besar dalam rundingan DEFA. Apabila dilaksanakan, DEFA akan menjadi pemacu transformasi ASEAN ke arah pasaran digital tanpa sempadan,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Anwar, Malaysia juga menerajui Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI Safe) bagi memastikan pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan beretika di seluruh rantau ini. 

“Pada masa yang sama, kami komited memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) - tulang belakang ekonomi ASEAN - tidak ketinggalan,” katanya sambil menambah bahawa melalui program serantau yang memperluas akses kepada peralatan digital, kemahiran dan pembiayaan, ASEAN menyasarkan untuk membantu perusahaan pelbagai saiz berkembang maju dalam era digital baharu ini.

“Bersama-sama, usaha ini akan membentuk masa depan di mana teknologi memacu keterangkuman, inovasi dan pertumbuhan mampan di seluruh rantau kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483182