KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Majlis Perniagaan Chile-ASEAN hari ini memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi memperkukuh hubungan perniagaan antara kedua-dua pihak.
Perjanjian itu bertujuan mewujudkan rangka kerja kerjasama rasmi sekali gus membuka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan Chile.
Memorandum tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agung Confederation of Chilean Industry (SOFOFA) dan wakil Majlis Perniagaan Chile-ASEAN, Rodrigo Yáñez serta Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Nazir Razak.
Majlis pemeteraian MOU itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025 yang sedang berlangsung di sini.
Kerjasama tersebut merupakan kolaborasi pertama ASEAN-BAC dengan negara Amerika Selatan, selain mengangkat Majlis Perniagaan Chile-ASEAN sebagai platform utama bagi kerjasama perniagaan dan memudahkan akses pasaran.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, majlis ini akan berfungsi sebagai saluran pertukaran maklumat pasaran, penganjuran misi perniagaan, serta penyelarasan bersama forum perdagangan dan sidang meja bulat pelaburan.
Nazir berkata kerjasama dengan Chile menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi global ASEAN, membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama.
Majlis Perniagaan Chile-ASEAN akan menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan ekonomi dua hala dan memperteguh integrasi di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Gabungan sumber dan inovasi Chile dengan dinamik serta skala pasaran ASEAN mewujudkan sinergi yang berpotensi mengangkat peranan kedua-dua rantau dalam rantaian nilai global,” katanya.
Sementara itu, Yanez berkata pemeteraian MOU itu merupakan detik bersejarah dalam hubungan Chile dan ASEAN.
“Majlis perniagaan dua hala ini akan mengenal pasti peluang perniagaan dan memupuk kerjasama dalam bidang inovasi, tenaga, mineral kritikal, makanan, logistik dan kemampanan, serta menggalakkan penyertaan syarikat Chile dalam rantaian bekalan Asia Tenggara.
“Penubuhan Majlis Perniagaan Chile-ASEAN turut melengkapi agenda Chile sebagai Rakan ASEAN, sekali gus memperkukuh penyertaannya dalam inisiatif ekonomi dan perniagaan blok serantau itu,” katanya.
-- BERNAMA